15 December 2011

Herba Dalam Dunia Kesihatan

Assalamualaikum...
Malam ni meng'google' lagi..mesti pening kan ngan bahasa rojak camnih.Sekali sekala boleh la kut..kalu ari2 formal pun pening juga nak susun ayat cantik-cantik kan.maklumlah bukan pakar bahasa.
Saya terjumpa satu artikel yang sangat menarik untuk di baca...Mari baca sama-sama..baca jangan skip-skip tau..nanti tak paham, maksud bertukar pula Tekiu kepada sumber artikel ini kerana telah membuatkan saya terjentik hati untuk mentelaah nya.....Jom!
Sumber : IKIM  


Tumbuhan merupakan satu anugerah Allah yang tidak ternilai untuk manusia kerana ia mempunyai pelbagai kegunaan sama ada sebagai sumber makanan, ubatan, kosmetik dan lain- lain lagi. Malah, Malaysia merupakan antara negara terkaya di dunia kerana memiliki hutan hujan tropika yang mempunyai lebih 20,000 spesies tumbuhan. Ditambah lagi, kemewahan khazanah rimba Malaysia ini turut memiliki kira- kira 2000 spesies tumbuhan ubatan atau herba yang telah diwartakan, sekali gus menjadikan ia berperanan sebagai simpanan yang mengandungi bahan kimia bernilai untuk diproses menjadi produk asas penjagaan kesihatan mahupun sumber ubatan dan makanan. Penggunaan tumbuhan herba sebagai sumber ubatan dan juga makanan adalah sejajar dengan keperluan manusia itu sendiri. Selain ia digunakan dalam perubatan tradisional, tumbuhan herba juga menyumbangkan peranan dalam penemuan ubat- ubatan moden di mana Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah melaporkan bahawa sebanyak 80% daripada penduduk dunia bergantung kepada ubatan herba dalam penjagaan kesihatan asas.

Namun demikian, mungkin ramai di antara kita tidak mengetahui akan kewujudan tumbuhan tersebut serta kelebihannya dan memainkan peranan penting dalam menjamin kesejahteraan dan kesihatan yang berterusan. Mungkin pendedahan dengan produk penjagaan kesihatan, minuman- minuman herba berasaskan tumbuhan yang berlambak di pasaran sekarang membuka mata masyarakat kita bahawa tumbuhan memberikan nilaian hebat dalam mempengaruhi tahap kesihatan seseorang. Tetapi sejauh mana tumbuhan herba tersebut berkesan seperti mana yang didakwa oleh pengusaha- pengusaha ubatan dan makanan perlulah dikaji secara mendalam.
Oleh itu, banyak kajian sekarang ini tertumpu kepada penyelidikan tumbuhan herba. Antaranya ialah seperti tongkat ali, kacip fatimah, hempedu bumi, lidah buaya, pegaga, mengkudu, misai kucing, dukung anak  dan banyak lagi. Untuk memastikan agar tumbuhan herba ini dipelihara dan sumbernya berterusan, maka, kepelbagaian biologi iaitu hutan- hutan di negara kita perlu diurus dengan baik. Ini kerana, permintaan terhadap makanan kesihatan, ubatan tradisional yang berasaskan herba semakin meningkat dan mendapat tempat di hati orang ramai. Ini disebabkan oleh sifat kegunaan tumbuhan herba adalah pelbagai dan boleh digunakan secara meluas. Selain daripada sebagai sumber ubatan tradisional, tumbuhan herba juga digunakan dalam penghasilan bahan kimia tulen untuk ubat- ubatan dan juga ekstrak yang mengandungi bahan aktif. Di samping itu, ia bermanfaat di dalam industri makanan, minuman, perisa, kosmetik, bahan pencuci, wangi- wangian dan juga makanan tambahan (nutraseutikal).

Pada dasarnya, hubungan antara manusia dan tumbuhan tidak dapat disangkal  lagi kerana memang banyak manfaat yang diperolehi dari tumbuhan untuk manusia sejagat seandainya ia diguna dengan cara yang betul dan teratur. Disinilah peranan yang perlu dimainkan oleh manusia itu sendiri, agar apa yang telah dianugerahkan oleh Allah dapat dimanfaatkan keseluruhannya. Ternyata, penggunaan secara berkesan sumber tumbuhan herba menjadikan masyarakat kita mahir dalam mengatur dan mengurus hal ehwal kesihatan. Contohnya, penggunaan tumbuhan herba dalam perubatan tradisional. Orang- orang dahulu mungkin memperolehi pengetahuan berkenaan dengan khasiat tumbuhan herba dengan melihat kesan tumbuhan tersebut dimakan oleh haiwan. Ada juga yang mungkin ditemui secara sengaja atau tidak sengaja dan pengalaman yang ditimba mengajar masyarakat dahulu sama ada sesuatu jenis tumbuhan herba boleh dimakan atau tidak. Pemerhatian rupa bentuk, warna dan bau sesuatu tumbuhan merupakan cara yang penting dalam menentukan tumbuhan herba boleh digunakan untuk tujuan perubatan atau sebaliknya. Lantaran itu, perlunya juga penyelidikan yang saintifik disalurkan dalam bidang tumbuhan herba agar  pengetahuan masyarakat dahulu terhadap bidang ini tidak lenyap dalam arus perubatan moden. Ini kerana, potensi tumbuhan herba amat meluas sekali untuk dijadikan sebagai ubat- ubatan dan barang kegunaan yang lain.
Atas dasar ini yang bersesuaian dengan perubahan gaya hidup dan keperluan masyarakat kini, tumbuhan herba berupaya menghasilkan pendapatan yang lumayan kepada petani malah mampu memberikan pendapatan yang lebih tinggi berbanding sesetengah tanaman lain yang banyak diusahakan oleh petani. Oleh itu, penanaman  tumbuhan herba perlu diperluaskan dan dikomersialkan  selaras dengan Dasar Pertanian Negara 1998- 2010 yang mengenalpasti industri herba sebagai salah satu industri yang amat berpotensi dimajukan pada abad ke-21 ini. Sejajar dengan itu, penggunaan herba dalam industri di Malaysia telah meningkat berkali ganda sejak berpuluh tahun dahulu. Contohnya penggunaan makanan herba untuk kesihatan (farmaseutikal dan nutraseutikal) telah mencecah RM950 bilion pada tahun 1996 dan dijangka meningkat pada masa sekarang. Namun begitu, peningkatan tersebut bukanlah suatu yang mengejutkan kerana ia berdasarkan sifat kegunaan tumbuhan  herba yang pelbagai.

Melihat kepada perkembangan ini, pasaran produk berasaskan herba tidak perlu dibimbangi kerana telah wujud satu aliran  masyarakat di dunia yang berpendidikan termasuk di Malaysia sendiri yang tidak terlepas daripada dilanda arus perkembangan tersebut, sudah mula mengutamakan dan menggunakan barangan berasaskan semula jadi berbanding barangan yang mengandungi bahan kimia. Apabila memperkatakan barangan yang berasaskan tumbuhan herba bermakna kehidupan yang diamalkan adalah kembali ke alam semulajadi  dan ia adalah selamat digunakan kerana diamalkan turun temurun dalam penjagaan diri dan kesihatan. Di samping itu, ia berkesan untuk merawat dan menjauhi daripada penyakit. Apa yang penting, barangan tersebut berkemungkinan murah jika dibandingkan dengan produk keluaran luar negeri dan ia adalah mesra alam (degradable). Secara tidak langsung, penggunaan barangan yang berasaskan tumbuhan herba akan membantu dalam menjana ekonomi negara dan kita tidak akan bergantung kepada negara luar untuk produk penjagaan diri dan kesihatan.

Contoh tumbuhan herba yang dikenali dan agak meluas penggunaannya di Malaysia ialah tumbuhan kacip fatimah. Pengambilan kacip fatimah oleh wanita dikatakan dapat meningkatkan pengaliran darah untuk menghilangkan kelesuan dan keletihan. Disamping itu, ia dapat mempercepatkan proses kelahiran bayi dan dapat mengembalikan kecergasan selepas bersalin serta membantu mengecutkan rahim dan melangsingkan badan. Kacip fatimah mengandungi unsur antioksidan dan phytoestrogen yang dapat membantu mencegah pembiakan sel- sel kanser dalam badan. Oleh itu, tidak hairanlah jika pada hari ini pasaran produk yang berasaskan kacip fatimah agak meluas berdasarkan manfaatnya yang pelbagai. 

Namun, apa yang menjadi persoalan, adakah benar seperti yang didakwa oleh pengeluar produk herba bahawa barangannya mengandungi unsur tumbuhan herba dan mampu memberikan kebaikan yang tertentu kepada kesihatan? Apa yang berlaku pada hari ini, ramai pengeluar produk herba menyatakan bahawa barangan yang diusahakan tersebut mengandungi tumbuhan herba yang sedemikian tetapi hakikatnya kuantiti tumbuhan herba dimasukkan ke dalam produk tersebut tidak mampu memberikan kesan yang mantap terhadap kesihatan. Oleh itu, apa yang diperlukan untuk memperluaskan lagi industri herba ini, selain daripada penyelidikan yang berterusan, perlu juga diadakan piawaian bagi produk herba bagi menjamin  mutu, keberkesanan dan keselamatan produk. Di samping itu, ia dapat menghasilkan produk yang seragam. Piawaian terhadap produk yang berasaskan tumbuhan herba perlu bagi menembusi pasaran dunia dan mengelakkan kekeliruan orang ramai terhadap manfaat sesuatu tumbuhan herba. Justeru itu, penyelidikan dan pembangunan terhadap tumbuhan herba perlu ditingkatkan dan mendapat kerjasama dari semua pihak agar khazanah tumbuhan yang kita miliki ini tidak lenyap begitu sahaja tanpa dimanfaatkan kegunaannya.


Camner..menarik bukan..Ini adalah artikel dari seorang Penyelidik, seorang researcher dari IKIM. ekurang-kurangnya kiter ada sedikit info tentang herba..bukannya makan saja tanpa sukatan dan aturan yang betullll...
Korang pikir yer kenapa watak kartun Popeye suka makan Bayam??
To be continued....

2 comments

lagi info tentang kacip fatimah - Kacip Fatimah Untuk Awet Muda

December 18, 2011

@armouris

Thanks for d info dear :)

December 18, 2011

Post a Comment

Sila tinggalkan KOMEN anda if nak komen
Tapi kalu suka boleh la SHARE
TEKIU..ENJOY VIEWING...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © Adeqrifqi Official Blog. Designed by Whitey Mommy